PENGENALAN


PENGENALAN PERTUBUHAN BELIA MOROCANZ MASAI JOHOR

Sejarah

Pertubuhan Belia Morocanz Masai Johor didaftarkan pada 18 March 2009 atas persetujuan mesyuarat Agung Permulaan yang di jalankan di Bandar Seri Alam Masai Johor. Dengan objektif utama, "menyatukan pemuda pemudi yang berasal dari Sabah yang telah menetap di Semenanjung Malaysia dan menggembelingkan tenaga mereka untuk pembangunan negara dengan setia serta memiliki semangat dan iltizam untuk berbakti seterusnya melahirkan belia yang berwawasan demi Agama, Bangsa dan Negara’’.

Misi

MOROCANZ menekankan beberapa objektif penubuhannya. Antara objektif-objektifnya ialah
• Menanam perasaan taat dan setia akan Malaysia
• Modul ihsan bagi menaik taraf pendidikan para ahli
• Memupuk kesejahteraan ahli-ahli MOROCANZ dan masyarakat keseluruhannya spiritual mental dan fizikal.
• Memupuk persahabatan dan kerjasama di kalangan ahli-ahli MOROCANZ dan masyarakat keseluruhannya.
• Menggalakkan belia memelihara hubungan dengan Majlis Belia Malaysia dan pertubuhan-pertubuhan lain di Malaysia, sebagaimana dibenarkan dan diiktiraf oleh kementerian berkenaan.
• Bekerjasama rapat dengan kementerian yang bertanggungjawab terhadap kebajikan belia.
• Mempertahankan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia sejagat.
• Menjadi antara Badan Amal bagi membantu saudara islam dalam bencana di dalam Negara atau luar Negara

Falsafah

Falsafah perjuangan Pertubuhan Belia Morocanz Masai Johor (MOROCANZ) adalah suatu usaha sukarela yang berterusan ke arah pembangunan yang menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan belia dan masyarakat yang seimbang dan harmonis daripada segi spiritual, mental dan fizikal dengan bertunjangkan asas-asas Rukun Negara. Usaha ini adalah untuk melahirkan belia dan masyarakat yang prihatin, berketrampilan, bertanggungjawab, berakhlak dan berkesungguhan untuk mencapai kesejahteraan diri dan masyarakat, dan mampu memberikan sumbangan terhadap pembangunan, keharmonian dan kemakmuran Negara.

PERANCANGAN AKTIVITI PERTUBUHAN BELIA MOROCANZ BAGI TAHUN 2010/2012

Mengadakan Persembahan dan Pertandingan.
tarian kebudayahan Kaum Suluk/Bajau
pamiran baju kaum suluk/bajau
Rombongan dan sukaneka
terbuka kepadah ahli dan keluarga pertubuhan belia morocanz masai johor.
Keagamaan
Gotong royong membersih Tanah perkuburan
Mewujudkan kelas mengaji Al-Quran
Sukan Mengadakan pertandingan
Futsal
Badminton
Bolatampar
DLL

Ekonomi

Gerai bagi penambahan pendapatan ahli atau pertubuhan bagi menampung perbelanjaan penganjuran program dan untuk tabung Amal Pertubuhan
Modal Insan Mengadakan kursus kemahiran untuk ahli-ahli secara terbuka dan penganjuran bersama Perunding yang akan diputuskan kemudian.
PERLEMBAGAAN PERTUBUHAN BELIA MOROCANZ MASAI JOHOR

FASAL 1: NAMA

Pertubuhan belia ini dikenali sebagai Pertubuhan Belia Morocanz New Generation Masai Johor ringkasnya Morocanz di dalam Perlembagaan ini.

FASAL 2: ALAMAT DAN TEMPAT URUSAN

(1) Alamat Pos Berdaftar
Alamat pos berdaftar pertubuhan belia ini ialah di :
02-09 Jalan Suria 47, Block B, Pangsapuri Sri Delima Bandar Seri Alam 81750 Masai, Johor Bahru.
(2) Alamat Urusan Berdaftar
Alamat urusan berdaftar pertubuhan belia ini ialah di :
02-09 Jalan Suria 47, Block B, Pangsapuri Sri Delima Bandar Seri Alam 81750 Masai, Johor Bahru.
(3) Alamat pos berdaftar dan alamat urusan berdaftar ini tidak boleh diubah tanpa kelulusan Jawatankuasa Kerja dan hanya boleh dikuatkuasakan setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Pendaftar Pertubuhan Belia.

FASAL 3: TAFSIRAN

(1) “PERTUBUHAN BELIA” ertinya Pertubuhan Belia Morocanz New Generation Masai Johor .
(2) “MESYUARAT AGUNG TAHUNAN” ertinya mesyuarat yang wajib diadakan oleh pertubuhan belia ini pada tiap-tiap tahun seperti yang disebutkan dalam fasal 10 Perlembagaan ini.
(3) “JAWATANKUASA KERJA” ertinya badan pengelola bagi pertubuhan belia ini seperti yang disebutkan dalam fasal 13 Perlembagaan ini.
(4) “JAWATANKUASA KECIL” ertinya Jawatankuasa yang sah dibentuk atau dilantik di bawah Perlembagaan ini mengikut fasal 15.
(5) “PEJABAT” ertinya alamat urusan berdaftar pertubuhan belia seperti yang ditetapkan dalam fasal 2 Perlembagaan ini.
(6) “AHLI” ertinya ahli atau anggota pertubuhan belia seperti yang disebutkan dalam fasal 6 Perlembagaan ini.
(7) “PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA” ertinya Pendaftar Pertubuhan Belia yang dilantik di bawah subseksyen 4(1) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.

FASAL 4: TUJUAN

Mengadakan aktiviti yang dapat membina peribadi, meningkatkan kesetianegaraan dan mewujudkan kesedaran terhadap perlunya menjauhi unsur dan nilai negatif dikalangan ahli-ahli;
Mengadakan aktiviti untuk ahli-ahli dalam bidang kebudayaan, sukan, kerohanian dan lain-lain;
Menggalakkan penyertaan ahli-ahli dalam program pembangunan komuniti setempat;
Memberi peluang kepada ahli-ahli terlibat dalam program latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan;
Menjalankan aktiviti-aktiviti lain yang dapat memperkukuh sumber kewangan pertubuhan;
Bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dalam pelaksanaan program pembangunan belia.

FASAL 5: LOGO/LAMBANG/BENDERA

Logo/lambang pertubuhan belia ini ialah bulansabit, bintang, Keris, perisai, panji, daun parma dan perkataan morocanz new generation.
(2) Keterangan Lambang
Nama MOROCANZ yang tertera pada lambang melambangkan pahlawan anak muda bersemangat nasional sejati.
bulan sabit dan bintang berwarna kuning emas melambangkan agama islam.
keris berwarna emas lambang keberanian untuk berdaya saing
Perisai berwarna hijau mencerminkan keagamaan, kewibawaan, dan disiplin.
Daun parma melambangkan kesuburan daya kreatif, inisiatif serta semangat untuk berjaya serta dinamik.
Panji melambangkan perpaduan.
Nama “NEW GENERATION” melambangkan generasi muda yang memperjuangkan bangsa agama dan Negara.
(3) Keseluruhan lambang
Memperlihatkan MOROCANZ sebagai sebuah Pertubuhan Belia yang teguh dan sentiasa relevan dengan peredaran masa demi mencapai wawasan,misi dan hala tujunya.

FASAL 6: PERMOHONAN MENJADI AHLI

Syarat-syarat untuk menjadi ahli pertubuhan belia ini adalah seperti berikut :
Warganegara Malaysia;
Berumur tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 40 tahun;
Tidak menjadi ahli atau memegang jawatan dalam sebarang pertubuhan belia lain;
Sanggup mematuhi peraturan atau perlembagaan pertubuhan belia ini pada setiap masa;
Permohonan untuk menjadi ahli pertubuhan belia ini hendaklah dibuat dengan mengisi borang ahli dan hendaklah dihantar kepada Setiausaha untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kerja Pertubuhan Belia untuk kelulusan.
Jawatankuasa Kerja Pertubuhan Belia boleh menolak mana-mana permohonan untuk menjadi ahli tanpa perlu memberi sebarang sebab dan keputusannya adalah muktamad.
Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan hendaklah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan yang pertama.
Seseorang pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli pertubuhan belia ini kecuali mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti atau Kolej Universiti berkenaan.
FASAL 7: BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan oleh ahli adalah seperti berikut:
Bayaran masuk RM 30.00 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh) Yuran Tahunan RM 50.00 (Ringgit Malaysia Lima Puluh)
Yuran tahunan hendaklah dibayar tidak lewat dari 1hb Februari tiap-tiap tahun kepada Bendahari. Sekiranya yuran itu tidak dibayar, ahli yang berkenaan tidak boleh menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan tidak boleh mengundi dan diundi.
Sekiranya yuran tahunan tidak dijelaskan dalam tempoh satu tahun tanpa alasan yang munasabah, Jawatankuasa Kerja berhak memberhentikan keahlian ahli yang berkenaan.
Bayaran-bayaran lain untuk perkara yang tertentu boleh dikenakan ke atas ahli-ahli dengan persetujuan Jawatankuasa.

(5) Sekiranya ahli yang telah dibatalkan keahliannya ingin menjadi ahli semula, beliau dikehendaki untuk mengemukakan permohonan baru dengan menyertakan bayaran pendaftaran, yuran tahunan dan penalti sebanyak RM 150.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Lima Puluh) Permohonan ini tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Kerja.

FASAL 8: TANGGUNGJAWAB DAN HAK AHLI

Setiap ahli bertanggungjawab mematuhi peraturan dan perlembagaan pertubuhan belia ini pada setiap masa;
Setiap ahli bertanggungjawab untuk memelihara nama baik pertubuhan belia ini pada setiap masa;
Setiap ahli bertanggungjawab membayar yuran yang dikenakan tepat pada waktunya;
Setiap ahli berhak menerima satu salinan Perlembagaan pertubuhan belia ini;
Setiap ahli yang layak, berhak untuk hadir, bercakap, mengundi dan diundi untuk sebarang jawatan dalam mesyuarat yang berkenaan;

FASAL 9: PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

Mana-mana ahli yang membuat permohonan bertulis untuk berhenti menjadi ahli dan permohonannya itu diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja adalah dianggap sebagai telah berhenti menjadi ahli.
Setiap ahli yang didapati menjalankan sesuatu kegiatan yang bertentangan dengan Perlembagaan pertubuhan belia boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi sesuatu tempoh masa sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Kecil Disiplin atau sebarang jawatankuasa kecil lain yang sah dibentuk di bawah perlembagaan ini. Sebelum tindakan sedemikian diambil, ahli itu hendaklah diberikan surat tunjuk sebab. Ahli berkenaan hendaklah diberi peluang untuk membela diri. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah berkuatkuasa dari tarikh yang ditetapkan oleh jawatankuasa kecil berkenaan. Ahli yang terbabit boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kerja dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh keputusan pemberhentian tersebut. Jawatankuasa Kerja mempunyai kuasa samada untuk menerima, menolak atau membuat apa-apa keputusan yang lain berhubung dengan rayuan tersebut dan keputusan Jawatankuasa Kerja tersebut adalah muktamad.

FASAL 10: MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

Mesyuarat Agung Tahunan adalah badan yang tertinggi dan menyeluruh bagi pertubuhan belia ini berdasarkan kepada tujuan dan matlamatnya.
Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan tidak lewat dari tarikh 31 Mac tiap-tiap tahun pada tarikh dan tempat yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja. Sekurang-kurangnya empat belas (14) hari notis, hendaklah diberikan secara bertulis oleh Setiausaha kepada semua ahli. Notis itu hendaklah disertakan dengan agenda mesyuarat bersama-sama dengan semua salinan dokumen yang dinyatakan dalam agenda tersebut.
Korum Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihadiri oleh tidak kurang satu pertiga (1/3) daripada bilangan keahlian yang layak mengundi. Sekiranya korum tidak mencukupi selepas satu (1) jam dari masa yang ditetapkan, maka mesyuarat itu hendaklah ditunda kepada tarikh baru dalam tempoh tiga puluh (30) hari. Sekiranya korum masih lagi tidak mencukupi pada tarikh baru mesyuarat itu, maka ahli-ahli yang hadir bolehlah meneruskan mesyuarat seperti yang telah ditetapkan kecuali meminda perlembagaan pertubuhan belia.
Setiausaha hendaklah menghantar kepada semua ahli dan Pendaftar Pertubuhan Belia salinan Penyata Tahunan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dalam tempoh tiga puluh (30) hari setelah selesainya mesyuarat tersebut.

FASAL 11: AGENDA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi antara lain agenda-agenda berikut :-
menerima dan mengesahkan Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lepas;
menerima dan meluluskan Laporan Jawatankuasa Kerja/Jawatankuasa Kecil berkenaan aktiviti pertubuhan belia dalam sepanjang tahun yang lalu;
menerima dan meluluskan Laporan Bendahari dan Penyata Kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
menguruskan hal-hal lain yang dibentangkan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan ; dan
memilih Jawatankuasa Kerja yang baru mengikut fasal 13 Perlembagaan ini dan melantik dua (2) orang juruaudit mengikut fasal 18 Perlembagaan ini setiap dua (2) tahun sekali.

FASAL 12: MESYUARAT AGUNG KHAS

Mesyuarat Agung Khas bagi pertubuhan belia ini boleh diadakan:
bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Kerja; atau
atas permintaan secara bertulis oleh tidak kurang daripada separuh (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya.
Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat tersebut.
Korum Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat itu, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya enam (6) bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.

FASAL 13: JAWATANKUASA KERJA

(1) Jawatankuasa Kerja hendaklah terdiri daripada:
seorang Pengerusi;
seorang Timbalan Pengerusi;
2 orang Naib Pengerusi;
seorang Setiausaha;
seorang Penolong Setiausaha;
seorang Bendahari; dan
7 orang Ahli Jawatankuasa
Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari adalah dilantik oleh Pengerusi dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja tersebut selepas Mesyuarat Agung Tahunan.
(3) Semua ”pemegang jawatan” sepertimana yang ditafsirkan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 adalah tertakluk kepada Seksyen 13 Akta tersebut berkaitan kehilangan kelayakan.
FASAL 14: TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA KERJA
(1) Melantik Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil.
(2) Menguatkuasakan dasar-dasar dan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan atau Khas.
(3) Mengurus dan mentadbir pertubuhan belia ini dan menjalankan program atau aktiviti dari semasa ke semasa.
(4) Mengkaji dan meluluskan perbelanjaan pentadbiran dan perbelanjaan program atau aktiviti yang diluluskan.
(5) Meluluskan peraturan-peraturan baru atau cadangan pindaan perlembagaan untuk di bahas dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Khas.
(6) Menimbang rayuan terhadap keputusan Jawatankuasa Kecil Disiplin bagi ahli-ahli pertubuhan belia.
(7) Membuat perlantikan dan pemberhentian kakitangan pengurusan yang bergaji jika ada.
(8) Menimbang permohonan mana-mana orang untuk menjadi ahli pertubuhan belia.

FASAL 15: TUGAS AHLI JAWATANKUASA KERJA

Pengerusi
Mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja.
Menjadi ketua dan bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pengurusan pertubuhan belia.
Melantik Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari pertubuhan belia dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja.
Menandatangani cek pertubuhan belia bersama-sama Bendahari pertubuhan belia.
Timbalan Pengerusi
Menjalankan tugas Pengerusi semasa ketiadaan Pengerusi.
Membantu Pengerusi melaksanakan tanggungjawab mentadbir dan mengurus pertubuhan belia.
Naib-Naib Pengerusi
Menjalankan tugas Pengerusi semasa ketiadaan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.
Membantu Pengerusi dan Timbalan Pengerusi melaksanakan tanggungjawab mentadbir dan mengurus pertubuhan belia.
Setiausaha
Bertanggungjawab kepada Pengerusi.
Melaporkan kepada Pengerusi segala tindakan berkaitan pentadbiran dan pengurusan pejabat pertubuhan belia.
Mengendalikan urusan surat menyurat, penyimpanan rekod, fail dan dokumen pertubuhan belia.
Mengemaskini daftar ahli pertubuhan belia.
Menghadiri semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan membuat catatan minit mesyuarat.
Menguruskan persediaan, pelaksanaan dan pelaporan Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan belia.
Mengemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam masa enam puluh (60) hari selepas Mesyuarat Agung Tahunan atau sekiranya tiada Mesyuarat Agung Tahunan, enam pulul (60) hari selepas berakhirnya setiap tahun kalender, penyata tahunan pertubuhan belia sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 22, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.
Bendahari
Menguruskan hal berkaitan kewangan pertubuhan belia.
Menyedia dan membentangkan Penyata Kewangan pertubuhan belia bagi tujuan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja.
Menandatangani cek pertubuhan belia bersama-sama Pengerusi.
Mengemaskini semua rekod kewangan pertubuhan belia.
Mengutip semua jenis yuran atau bayaran yang dikenakan daripada ahli pertubuhan belia.
Penolong Setiausaha
Membantu Setiausaha dalam pelaksanaan tugas-tugasnya.
Menjalankan tugas Setiausaha semasa ketiadaan beliau.
Ahli Jawatankuasa
Mempengerusikan Jawatankuasa Kecil yang dibentuk oleh Jawatankuasa Kerja pertubuhan belia.
Mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kecil yang diketuainya.
Membantu dalam pentadbiran dan pengurusan pertubuhan belia secara keseluruhan.
Memastikan Jawatankuasa Kecil yang dipengerusikannya melaksanakan aktiviti dan fungsinya.
FASAL 16: MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA
Jawatankuasa Kerja hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam masa tiga (3) bulan. Notis mesyuarat hendaklah dikeluarkan tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat.
Pengerusi boleh memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja pada bila-bila masa beliau fikirkan perlu.
Sekurang-kurangnya lima (5) orang daripada Ahli Jawatankuasa
Kerja hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupkan korum
mesyuarat tersebut.

FASAL 17: KEWANGAN

Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam perlembagaan ini, wang pertubuhan belia ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan pertubuhan belia termasuklah perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan pertubuhan belia serta perbelanjaan lain yang di persetujui oleh Jawatankuasa Kerja. Walau bagaimanapun wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar penalti mana-mana pemegang jawatan atau ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih daripada RM1,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu) pada satu-satu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam akaun pertubuhan belia.
Semua cek atau kenyataan pengeluaran wang pertubuhan belia hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi dan Bendahari. Semasa ketiadaan Pengerusi, Timbalan Pengerusi merupakan pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang pertubuhan belia.
Perbelanjaan yang melebihi RM 10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu) bagi sesuatu masa perlu diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Kerja dan perbelanjaan yang melebihi RM 100,000.00 (Ringgit Malaysia Seratus Ribu) bagi satu-satu masa perlu mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu.
Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik dengan seberapa segera setelah tamatnya sesuatu tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikutnya dan salinannya hendaklah dikemukakan untuk makluman semua ahli pertubuhan belia.
Tahun kewangan pertubuhan belia ini bermula pada 1hb Januari dan berakhir pada 31 hb Disember tiap-tiap tahun.

FASAL 18: JURUAUDIT

Dua (2) orang ahli yang bukan menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja boleh dilantik semasa Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit. Tugas mereka adalah membuat pemeriksaan terhadap penyata kewangan pertubuhan belia dan membuat laporan dan pengesahan penyata-penyata yang berkaitan dengan kewangan pertubuhan belia.
Mesyuarat Agung Tahunan boleh juga melantik Firma Audit yang bertauliah bagi menjalankan kerja-kerja auditan ke atas pertubuhan belia sekiranya perlu.
FASAL 19: TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
Tertakluk kepada peruntukan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, Jawatankuasa Kerja boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini. Jawatankuasa Kerja juga boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini sekiranya perlu dengan syarat tidak bertentangan dengan peruntukan mana-mana undang-undang.

FASAL 20: PERTIKAIAN DALAMAN

Adalah menjadi tugas Jawatankuasa Kerja untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian yang timbul di kalangan ahli-ahli mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.

FASAL 21: PENAUNG DAN LEMBAGA PENASIHAT

Jawatankuasa Kerja boleh melantik seorang Penaung yang bukan dari kalangan ahli pertubuhan belia sekiranya perlu.
Jawatankuasa Kerja juga boleh melantik Lembaga Penasihat yang bilangannya tidak melebihi tiga (3) orang bukan dari kalangan ahli pertubuhan belia sekiranya perlu.
Penaung atau Lembaga Penasihat tersebut hendaklah tidak mempunyai hak untuk mengundi atau kuasa membuat keputusan bagi pihak pertubuhan belia.

FASAL 22: PEMEGANG AMANAH

Tiga (3) orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh pertubuhan belia. Semua harta tetap kepunyaan pertubuhan belia akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).
Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindah hakmilik harta kepunyaan pertubuhan belia dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan belia.
Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung Tahunan oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya. Pemegang Amanah yang baru boleh dilantik bagi menggantikan Pemegang Amanah tersebut melalui Mesyuarat Agung Tahunan.

FASAL 23: PINDAAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan persetujuan ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas.
Permohonan untuk meminda perlembagaan ini hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam masa enam puluh (60) hari dari tarikh keputusan mesyuarat yang memutuskan perihal perubahan atau pindaan tersebut. Perubahan atau pindaan kepada perlembagaan ini tidak boleh dikuatkuasakan selagi tidak mendapat kelulusan bertulis Pendaftar Pertubuhan Belia.

FASAL 24: LARANGAN

Segala bentuk perjudian yang bertentangan dengan Undang-undang Malaysia atau permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah atau premis pertubuhan belia : Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game, permainan mesin video dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;
Pertubuhan belia atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti difinisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959;
Pertubuhan belia ini tidak boleh menjalankan loteri samada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama pertubuhan belia atau pemegang jawatan tanpa kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan dan pihak berkuasa.

FASAL 25: PEMBUBARAN

Pertubuhan belia ini boleh dibubarkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri Mesyuarat Agung Khas yang dipanggil untuk tujuan tersebut.
Sekiranya pertubuhan belia ini hendak dibubarkan secara yang tersebut di atas, maka segala hutang dan tanggungan pertubuhan belia yang sah dari segi undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diurus mengikut cara yang dipersetujui oleh Mesyuarat Agung tersebut;
Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran tersebut.